Beri peluang Ahli Parlimen BN anggotai Kabinet – Hasni

Beri peluang Ahli Parlimen BN anggotai Kabinet – Hasni

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memegang jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata lantikan Ahli Parlimen BN sebagai Jemaah Menteri mampu membantu mengukuhkan kedudukan BN secara keseluruhannya.

“Elemen paling penting adalah untuk Anwar Ibrahim melantik ahli Kabinet yang beliau berasa selesa untuk bekerjasama dengan mereka.

“Selain daripada efisyen, Kabinet juga perlu memaparkan dan mewakili aspirasi umum rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, walaupun kerajaan perpaduan diketuai Pakatan Harapan (PH) namun, BN perlu memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebagai sebahagian daripada kerajaan semasa.

Terdahulu, media melaporkan, Anwar akan mengurangkan saiz Jemaah Menteri kepada 25 orang dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing diperuntukkan 1+4 dan 1+3.

Sumber berkata, pengagihan jawatan dalam Kabinet adalah berdasarkan jumlah kerusi dimenangi parti-parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“PKR akan mendapat 1+4 iaitu jawatan Perdana Menteri berserta empat menteri manakala DAP mendapat lima jawatan menteri, Amanah dua menteri dan UPKO satu menteri,” katanya. – Malaysiapost

Komen