BN dapat jawatan TPM dan 4 menteri?

BN dapat jawatan TPM dan 4 menteri?

DATUK Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mengurangkan saiz Jemaah Menteri kepada 25 orang dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing diperuntukkan 1+4 dan 1+3.

Portal berita berbahasa Cina melaporkan, pengagihan jawatan dalam Kabinet adalah berdasarkan jumlah kerusi dimenangi parti-parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“PKR akan mendapat 1+4 iaitu jawatan Perdana Menteri berserta empat menteri manakala DAP mendapat lima jawatan menteri, Amanah dua menteri dan UPKO satu menteri.

“BN dijangka mendapat 1+4 iaitu Timbalan Perdana Menteri dan empat menteri, manakala GPS 1+3 iaitu satu Timbalan Perdana Menteri dan tiga menteri,” kata sumber kepada portal berita itu.

Kata sumber itu lagi, baki jawatan menteri akan diagih kepada MUDA, Warisan dan GRS, menjadikan jumlahnya 25 orang.

Dilaporkan, Yang di-Pertuan Agong berharap majlis angkat sumpah dapat disempurnakan esok, , tetapi Anwar meminta diberi lebih masa kerana Kerajaan Perpaduan membabitkan banyak parti.

“Jika tidak diumumkan pada Khamis, maka mungkin Sabtu atau Ahad supaya majlis angkat sumpah dapat dijalankan pada Isnin,” kata sumber itu.

Mengikut jadual Anwar, beliau akan pulang ke Tambun esok untuk berjumpa pengundi kawasan Parlimen diwakilinya.

Dalam pada itu, difahamkan dua calon Timbalan Perdana Menteri ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, masing-masing dari BN dan GPS.

“Kemungkinan Ahmad Zahid menjadi TPM adalah tinggi kerana Anwar akan memberi pertimbangan berdasarkan calon dikemukakan setiap parti.

“Jika BN mencalonkan Ahmad Zahid, sukar untuk Anwar menolak dan ini juga mengambil kira keperluan satu kerajaan yang stabil.

“Salah satu jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah untuk BN dan Ahmad Zahid juga berjasa dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sumber berkata, 25 menteri akan dibantu 25 timbalan menteri, menjadikan jumlah menteri dan timbalan menteri sebanyak 50 orang.

Katanya, saiznya adalah kira-kira 40 peratus lebih kecil berbanding 70 orang menteri dan timbalan menteri semasa kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Malaysiapost

Komen