DUN Tioman, kemenangan PN yang tertangguh – Tuan Ibrahim

DUN Tioman, kemenangan PN yang tertangguh – Tuan Ibrahim

PERIKATAN Nasional (PN) menganggap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman adalah kemenangan yang tertangguh berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia tertangguh susulan calon PN meninggal dunia pada hari mengundi yang akhirnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa menangguhkan pilihan raya DUN berkenaan.

Menurutnya, jika dilihat berdasarkan keputusan bagi kerusi Parlimen Rompin yang membabitkan DUN berkenaan, PN sebenarnya telah mendahului parti-parti lain.

“Parlimen Rompin pula saya nak rakamkan penghargaan tinggi kerana tidak pernah dalam sejarah PN memenangi Parlimen Rompin.

“Yang lebih menariknya di DUN Tioman kita sebenarnya telah mendahului semua parti-parti lain. Sebab itu saya anggap kemenangan yang tertangguh dan insya-Allah kita akan buktikan pada 7 Disember nanti,” katanya ketika menyantuni pengundi
DUN Tioman di Kampung Tekek Pulau Tioman, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi PN, menyeru pengundi untuk mengundi calon PN, Nor Idayu Hashim, 35, dari PAS yang juga calon muda bagi mengambil inspirasi orang muda yang mahukan perubahan di Pulau Tioman.

“Terdapat sedikit masalah kecil iaitu ramai pengundi yang bekerja di luar Tioman dan diharapkan semua bantu hubungi mereka untuk pulang menunaikan tanggungjawab pada 7 Disember ini dan mengundi PN.

“Pada malam tersebut dijangka jam 8.30 malam, insya-Allah kita akan mendengar pengumuman penting bahawa DUN Tioman ini dimenangi oleh PN,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata di Pahang, PN sudah menang 17 kerusi DUN berbanding pilihan raya sebelum ini yang hanya memenangi lapan kerusi sahaja.

Menurutnya beberapa DUN Pahang yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak pernah parti lain menang, namun berubah dilanda gelombang anak muda yang mahukan perubahan.

Sementara itu, beliau juga percaya ramai penyokong Umno dan BN yang kecewa dengan pembentukan kerajaan negeri baru-baru ini.

“PN sudah berbincang dengan BN untuk mewujudkan muafakat politik di Pahang ini kerana kedua-duanya mempunyai kerusi hampir seimbang.

“Tentu orang Umno di Pahang juga tidak percaya tiba-tiba Umno boleh buat keputusan untuk bersama dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Tetapi itu keputusan mereka buat, tidak mengapa yang penting kita harus pandang ke depan dan terus berusaha serta pastikan 7 Disember nanti undi PN,” katanya. – Malaysiapost

Komen