‘Gabungan BN, PH adalah satu ijtihad politik’ – Khairuddin

‘Gabungan BN, PH adalah satu ijtihad politik’ – Khairuddin

GABUNGAN politik pasca pilihan raya umum (PRU) adalah perkara yang normal berlaku kepada parti-parti politik bagi membentuk kerajaan, kata Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu berkata, perkara itu berlaku kerana setiap parti berusaha membuat keputusan yang terbaik bagi kesinambungan perjuangan masing-masing.

“Di DUN Perak 2008, PAS menang 6 kerusi, DAP (18), PKR (7) dan BN (27). PAS menyokong DAP dan PKR dengan PAS menjadi Menteri Besar (MB) walau parti terkecil.

“Pasca PRU 2022 di DUN Perak, Perikatan Nasional (PN) didominasi oleh PAS memenangi 26 kerusi, PH (24) dan BN hanya 9 kerusi. BN membentuk kerajaan bersama PH dengan Menteri Besarnya daripada BN,” katanya menerusi Facebook.

Khairuddin turut memberi contoh apa yang terjadi pada DUN Selangor pada 2008 apabila PAS menyokong DAP dan PKR, serta menolak untuk bersama BN.

“Pasca PRU 2022 di DUN Pahang, PN menang 17 kerusi, BN (16) manakala PH sembilan kerusi. BN disokong oleh PH bagi membentuk kerajaan dengan MB daripada BN lalu menafikan impian PN menjadi MB.

“(Selain itu) gabungan Pakatan Rakyat ditubuhkan pasca penubuhan kerajaan di Perak dan Selangor pasca PRU 2008 bukannya sebelum PRU. Maka demikianlah juga gabungan antara BN dan PH boleh tertubuh pasca PRU15 ini,” katanya.

Menurut Khairuddin, apa yang PAS pernah lakukan dulu kini diulangi oleh BN sebagai satu ijtihad politik parti itu bagi mengharapkan yang terbaik untuk umat Islam.

“Jika dulu PAS gagal kekal bersama PKR dan DAP lalu berpecah pada 2015, ia tidak menjadi alasan dan halangan untuk BN pula membuat ijtihad politik bersama PH dengan meletakkan Islam dan Melayu sebagai asas dan syarat berkerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen