Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah diaktifkan – NADMA

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah diaktifkan – NADMA

JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan Waspada (Kuning) pada 1.30 tengah hari tadi membabitkan beberapa kawasan di lapan negeri.

Susulan itu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah telah diaktifkan.

Menurut NADMA, tahap kesiapsiagaan turut ditingkatkan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas.

“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) perlu mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut NADMA.

NADMA juga memaklumkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal dan sentiasa dalam kesiapsiagaan.

Terdahulu METMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dijangka berlaku di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Hulu Perak), Kelantan, Terengganu dan Pahang (Jerantut, Kuantan dan Pekan) sehingga Sabtu ini.

Hujan berterusan juga dijangka berlaku di negeri Sabah: Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga hari ini.

Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.

Terbaru, METMalaysia mengeluarkan Amaran Ribut Petir yang dijangka berlaku sehingga jam 6 petang ini.

“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar dan Batang Padang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin) dan Selangor (Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang).

“Keadaan sama juga dijangka melanda Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka,Johor, Sarawak: Sarikei, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Marudi), Sabah: Pedalaman (Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar) dan Tawau (Tawau dan Lahad Datu).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” menutut METMalaysia. – Malaysiapost

Komen