Kemenangan bukan untuk dimegahkan

Kemenangan bukan untuk dimegahkan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua bahawa kemenangan diperoleh bukan untuk dimegahkan, tetapi perlu dijadikan kekuatan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, berkata sekarang adalah masanya untuk memberikan makna sebenar keadilan bagi semua rakyat di Malaysia.

“Kemenangan itu bukan untuk kita tunjukkan kemegahan, keangkuhan, takabur, tetapi perlu istighfar kerana kita juga telah banyak lakukan kesilapan sebelum ini.

“Tetapi apa yang perlu adalah untuk jadikannya satu kekuatan bagi melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik. Itu mudah-mudahan dapat kita lakukan,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Reformis, malam ini.

Menurutnya, berdasarkan perkara itu beliau ketika ini mengambil pendekatan berdiam diri terhadap serangan dan fitnah terhadap kerajaan pimpinannya kini.

“Sebab itu saya dalam seminggu ini, saya tidak jawab sangat serangan-serangan dan fitnah. Kita tumpu, laksana dan buktikan baik atas nama Melayu dan budaya Melayu…atas nama Islam, akhlak Islam dan pelaksanaan syariat Islam.

“Atau jaminan kemanusiaan bagi setiap warga sama ada Cina, India, Dayak atau Kadazan..inilah masa kita beri makna apa erti keadilan bagi semua rakyat di Malaysia,” katanya.

Anwar turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang dilihat ingin memperjuangkan keadilan namun meremehkan hak orang atau kaum lain.

“Mengapa di Malaysia sekarang ini di kalangan orang Islam dan Melayu, bila bicara soal keadilan cuba meremehkan hak orang lain.

“Bila bicarakan keadilan sejagat, mereka kata inilah asyik keadilan orang Cina, orang India..padahal Islam itu mengajar supaya menegakkan keadilan seperti yang didengar dalam solat Jumaat setiap minggu.

“Itu tuntutan, kita dengar tapi bila nak amalkan, dia kata tak boleh…mesti jalur Islam sahaja dan siapa tak ikut masuk neraka,” katanya. – Malaysiapost

Komen