Keputusan BN bersama kerajaan perpaduan kecewakan akar umbi Umno, orang Melayu

Keputusan BN bersama kerajaan perpaduan kecewakan akar umbi Umno, orang Melayu

DATUK Seri Shahidan Kassim menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) bersama dalam kerajaan perpaduan dipimpin Pakatan Harapan (PH) mengecewakan akar umbi Umno dan orang Melayu.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Arau itu berkata, ia juga mengkhianati keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang menegaskan tiada kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta DAP atau ‘No Anwar, No DAP’.

“Saya nak beritahu banyak orang telah dihukum. Saya sendiri telah di-boo (ketika) PAU kerana pada pandangan mereka, (saya) melawan arus.

“Kita dapati ‘No Anwar’ dan ‘No DAP’ adalah (keputusan yang dibuat) dalam PAU, ia telah diputuskan dan telah di-endorse di peringkat Majlis Tertinggi.

“Saya nak bertanya, di mana peringkat (yang mengatakan) tidak (kepada keputusan ini), (yang) menyatakan bahawa ‘Yes Anwar, Yes DAP’?

“Ini mengecewakan orang Umno dan orang Melayu yang menyokong Umno,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau ditemui ketika berkempen bersama calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkempen di Pasar Malam Sungai Karangan, Kulim, malam tadi.

Sementara itu Shahidan berkata, kekecewaan akar umbi Umno dan orang Melayu akan membawa kepada sokongan jitu terhadap PN sebagai wadah terbaik penyatuan ummah.

Beliau berkata, gelombang dibawa dari Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri yang menyokong gabungan itu akan berterusan dan mampu membawa kemenangan besar kepada PN.

Ia sekali katanya, akan menjadi manifestasi penolakan rakyat dan akar umbi terhadap gabungan PH dan BN yang membentuk kerajaan perpaduan. – Malaysiapost

Komen