Mat Sabu berdebar kongsi pentas dengan BN

Mat Sabu berdebar kongsi pentas dengan BN

SEBELUM ini mereka seteru, namun malam tadi Barisan Nasional (BN) dan Amanah berkongsi pentas ceramah umum sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Pengalaman pertama kali itu menyebabkan Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu berdebar-debar kerana tidak terfikir ia akan menjadi realiti.

“Kali pertama berada di pentas BN, saya berdebar-debar,” itu reaksi Mohamad ketika ditanya perasaannya ketika menyampaikan ceramah umum bersama BN, lapor Sinar Harian.

Mohamad menggambarkan perasaan itu kerana tidak pernah terfikir berkongsi pentas ceramah dengan BN, seterusnya berkempen untuk calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

“Kali pertama atas pentas BN ini saya berdebar, memang satu benda serta peristiwa baharu sebab saya mendokong keputusan Pakatan Harapan (PH).

“Saya diminta oleh mesyuarat PH untuk hadir malam ini bagi mengesahkan calon BN mewakili PH DUN Tioman ini. Tidak pernah lagi dikelilingi oleh rakan Umno,” katanya.

Selain Mohamad, ceramah julung kali diadakan secara bersama itu turut dihadiri Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Kira-kira 500 orang hadir mendengar ceramah disampaikan empat pemimpin itu berhubung perkembangan semasa hubungan kedua-dua gabungan parti selepas membentuk Kerajaan Perpaduan.

Mohamad dalam ucapannya berkata, PH dan BN bergabung bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan secara bersama bagi menyelesaikan kemelut susulan tiada parti memperoleh majoriti.

Menurutnya, semua pihak perlu memberi tempoh lima tahun kepada Kerajaan Perpaduan menerusi gabungan PH, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mentadbir Persekutuan dan negeri.

“Tidak apalah mereka (Perikatan Nasional) jadi pembangkang, kritiklah kami, hentamlah kami, tapi beri peluang kepada kami memerintah lima tahun,” katanya. – Malaysiapost

Komen