PH, BN tipu rakyat, habis semua pemimpin politik terpalit – Wan Saiful

PH, BN tipu rakyat, habis semua pemimpin politik terpalit – Wan Saiful

SENTIMEN rakyat yang berpandangan ‘orang politik sama saja’ lebih meluas apabila melihat kerakusan orang politik mengejar kuasa, seperti ditunjukkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, perasaan muak rakyat terhadap politik dan orang politik adalah kerana mereka semakin tidak percaya terhadap golongan itu.

Beliau memberi contoh, penyokong PH dan BN mengundi calon-calon mereka pada PRU15 lalu kerana menyangka dua parti ini membawa agenda berbeza.

“Tiba-tiba rupa-rupanya undi PH dapat BN, dan undi BN dapat PH. Habis seluruh negara ditipu oleh PH dan BN yang sanggup menjual maruah diri demi jawatan dan harta.

“Sikap menipu pemimpin PH dan BN inilah menyebabkan rakyat semakin muak dengan politik dan orang politik. Mereka yang merosakkan kepercayaan rakyat, habis semua orang politik terpalit. Sedangkan tidak semua orang politik begitu.

“Saya harap rakyat sedar bahawa tidak semua orang politik itu sama. Yang sama hanyalah PH dan BN. Tolonglah, jangan tuduh kami sama seperti PH dan BN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Wan Saiful, pihaknya dalam PN tegas berpegang dengan prinsip dan ada agenda perjuangan jelas serta mahu kerajaan yang bersih demi menjaga kebajikan rakyat.

“Kami tak sanggup menggadai prinsip semata-mata untuk mengejar jawatan dan harta.

“Saya nak tanya penyokong BN dan PH. Apa perasaan saudara saudari dengan pemimpin PH dan BN hari ini?

“Ada rasa malu dengan sikap pemimpin anda, atau semuanya sudah beriman dengan konsep ‘malu apa bossku?’,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen