PM mesti lantik anggota Kabinet dari Umno ikut hiraki parti – Annuar Musa

PM mesti lantik anggota Kabinet dari Umno ikut hiraki parti – Annuar Musa

PEMILIHAN wakil Umno dalam Kabinet kerajaan perpaduan wajar mengikut keutamaan hiraki parti, kata Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut bekas menteri itu, Umno melalui keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat keputusan tuntas menyertai kerajaan perpaduan ini pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, katanya  keputusan tersebut wajar dihormati bukan saja oleh ahli Umno, malah Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan perpaduan.

“Umno tidak harus dipandang enteng atau “to be taken for granted”. Umno juga tidak harus diterima separuh-separuh.

“Umpama semangkuk gulai, jangan kuah di ambil tapi isi nak dibuang,” kata Annuar menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurutnya, Perdana Menteri dikatakan menghadapi dilema kerana terdapat banyak lobi dari pelbagai pihak dalam soal pelantikan anggota Kabinet.

Namun katanya, ia perkara biasa dan beliau percaya Anwar tahu cara menyelesaikannya.

“Kabinet mesti berupa gabungan yang mampu menggalas tugas yang mencabar selepas ini.

“Yang penting Perdana Menteri perlu mempunyai pasukan berkerja yang mantap dan berwibawa.

“Rakyat menanti sesuatu yang baik untuk semua. Sudah lama rakyat menanti,” katanya.

Terdahulu pelbagai pihak menjangkakan senarai anggota Kabinet akan diumumkan sama ada hari sehingga hujung minggu ini sebelum majlis angkat sumpah pada Isnin.

Pelbagai pihak juga telah menyatakan pendapat masing-masing termasuk menyarankan agar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dilaporkan, Anwar akan melantik dua Timbalan Perdana Menteri, masing-masing seorang dari Umno serta Gabungan Parti Sarawak (GPS). – Malaysiapost

Komen