PN tak bayar ‘Tiktokers’ – Muhammad Sanusi

PN tak bayar ‘Tiktokers’ – Muhammad Sanusi

PERIKATAN Nasional (PN) tidak membayar ‘Tiktokers’ untuk membuat kandungan video bagi menyokong parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa cara itu memerlukan wang yang banyak.

Menurutnya, apa yang sebenarnya berlaku adalah kreativiti golongan muda dalam menyuarakan sokongan terhadap PN.

“Ada pihak yang kata ramai Tiktokers yang dibayar untuk buat ‘content’ menyokong PN. Siapa yang banyak sangat duit nak bayar ramai-ramai tu.

“Realitinya, orang muda sekarang ini kreatif dan bijak. Kreatif dan bijak itu diterjemahkan dalam bentuk hasil seni di TikTok dan media sosial yang lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah, berkata banyak juga hasil seni Tiktokers yang dihasilkan bukan sekadar berkaitan sokongan politik mereka termasuk yang berunsur hiburan dan agama.

Dalam hantaran itu, Muhammad Sanusi turut berkongsi contoh video TikTok hasil kreativiti pengguna media sosial berkenaan.

Sementara itu, beliau mengingatkan pengguna media sosial supaya memanfaatkan kebolehan yang ada untuk kebaikan kepada masyarakat.

“Kepada Tiktokers, ‘Facebookers’ dan ‘influencer’ media sosial, gunakanlah kepandaian kita untuk sesuatu yang berguna dan kebaikan yang memberi manfaat kepada yang lain.

“Terima kasih kerana menyokong PN,” katanya. – Malaysiapost

Komen