Polis siasat video kibar Jalur Gemilang, bendera Israel

Polis siasat video kibar Jalur Gemilang, bendera Israel

POLIS membuka kertas siasatan berhubung klip video tular menunjukkan sekumpulan individu menyanyikan lagu Negaraku sambil menaikkan bendera Malaysia dan Israel.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata siasatan dijalankan susulan laporan polis diterima pada jam 11.20 malam kelmarin.

Menurutnya, pengadu memaklumkan dia melihat satu klip video berdurasi 47 saat berkaitan kejadian itu dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum tampil membuat laporan polis.

“Siasatan mendapati kejadian dalam klip video itu berlaku September lalu, ketika sekumpulan warga tempatan melawat ke Tasik Galilee dalam kawasan jajahan Israel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam pada itu, Ku Mashariman menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan bahan berkaitan kejadian itu menerusi mana-mana platform.

“Ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis serta menggugat ketenteraman awam,” katanya. – Malaysiapost

Komen