Puad dakwa Akta Lompat Parti selamatkan PN

Puad dakwa Akta Lompat Parti selamatkan PN

SEORANG pemimpin Umno Johor mendakwa Akta Lompat Parti yang diluluskan semasa kerajaan dipimpim Perdana Menteri dari Umno, telah menyelamatkan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, dakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, tanpa akta itu ramai Ahli Parlimen PN akan melompat parti ketika ini.

Katanya, ia susulan gabungan itu gagal menubuhkan kerajaan Persekutuan susulan kerjasama Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Tanpa Akta itu, ramai Ahli Parlimen PN akan lompat parti. Apatah lagi ramai Ahli Parlimen PN adalah bekas pelompat parti.

“Sepatutnya PN berterima kasih kepada BN. Akta itu digubal dan diluluskan semasa BN jadi Perdana Menteri.

“Bukti jelas ialah PN tidak dapat menghalang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari menyokong Anwar (Ibrahim) sebagai Perdana Menteri.

“Padahal beberapa Ahli Parlimen GRS adalah ahli Bersatu yang menganggotai PN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berbangga PN berprinsip kerana sanggup jadi pembangkang.

Menurut Wan Saiful, hanya PN layak bercakap mengenai prinsip sedangkan PH dan BN kini semakin hilang arah tuju kerana kuasa.

Mengulas lanjut, Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor berkata, penyertaan BN dalam kerajaan perpaduan adalah berasaskan kepercayaan.

Sebaliknya, katanya, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima sokongan BN dalam kerajaannya sebelum ini dengan niat dendam.

“Dia mahu membunuh Umno. Sebab itu Muhyiddin boleh jadi Perdana Menteri 17 bulan sahaja. Silap sendiri. Scheme of things gagal. Tiada berkat,” katanya. – Malaysiapost

Komen