Senarai Jemaah Menteri hampir siap – PM

Senarai Jemaah Menteri hampir siap – PM

PERBINCANGAN dalam membentuk barisan Jemaah Menteri kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah hampir selesai.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, menegaskan perbincangan itu perlu disegerakan bagi membolehkan nama-nama yang dipersetujui dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, beliau sedang menyelesaikan mengenai pembentukan barisan Kabinet itu malam ini sebelum dijadualkan mengadap Yang di-Pertuan Agong pagi esok.

“Kita terpaksa bergegas untuk menyelesaikan dengan semua komponen parti, kerana kita harus segerakan untuk membentuk barisan Jemaah Menteri.

“Supaya ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diumumkan dalam masa dua tiga hari ini,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Reformis, malam ini.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau akan memperkemas kini dan meneliti senarai nama barisan Jemaah Menteri pimpinannya terlebih dahulu sebelum mendapatkan perkenan Agong.

“Setakat ini hampir semua sudah selesai dan saya akan perkemas kini atau cerakin. Selepas cerakin saya akan menelusuri atau meneliti dan menelaah dengan teliti.

“Jam 8 pagi (esok) saya akan ke Istana Negara dan kemudian ke Istana Kinta di Perak sebelum solat Jumaat dan kenduri rakyat di Tambun, Ipoh,” katanya. – Malaysiapost

Komen