Tan Sri Hamid Pawanteh meninggal dunia

Tan Sri Hamid Pawanteh meninggal dunia

BEKAS Menteri Besar Perlis yang keempat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh, 78, meninggal dunia petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham dikongsi anaknya Natasya Pawanteh menerusi hantaran di Facebook yang menyatakan bapanya meninggal dunia sekitar jam 3.15 petang.

Ia turut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Allahyarham ketika hanyatnya aktif dalam politik termasuk mengetuai Umno Perlis sebelum bersama dengan Bersatu Perlis.

Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Perlis bermula pada 1986 sehingga 1995 sebelum digantikan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Arau dari 1982 sehingga 1986 sebelum berpindah kawasan dengan menjadi Ahli Parlimen Kangar pada 1999 hingga 2003.

Pada Julai 2003, Allahyarham meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kangar untuk dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara hingga 2009 malah beliau juga pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Masjid Negeri, Arau, esok. – Malaysiapost

Komen