Terengganu FC ucap selamat maju jaya buat Nafuzi

Terengganu FC ucap selamat maju jaya buat Nafuzi

SELEPAS lima musim menabur bakti, Terengganu FC hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada pengendali pasukan, Nafuzi Zain.

Menerusi hantaran di Facebooknya, skuad naib juara Liga Super itu mengucapkan terima kasih dan penghargaan buat Nafuzi atas jasa dan pengorbanan sepanjang mengendali pasukan.

“Nafuzi mula berkhidmat bersama pasukan Terengganu FC bermula tahun 2018 sehingga 2022.

“Untuk rekod bagi tahun ini, beliau membawa pasukan muncul naib juara saingan Piala FA dan menamatkan Liga Super di tempat kedua sekali gus membawa pasukan ke pentas Asia musim depan.

“Kami seluruh warga Terengganu FC sekali lagi ingin mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan bersama Terengganu,” katanya.

Sebelum ini Nafuzi mengesahkan akan meninggalkan Terengganu FC dan dikaitkan dengan perpindahan ke sebuah pasukan di utara tanahair.

Aksi terakhir Nafuzi membimbing skuad Penyu ialah ketika aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor di Kuala Terengganu, minggu lalu. – Malaysiapost

Komen