Wanita maut jatuh kondominium, mayat tersangkut tingkat 20

Wanita maut jatuh kondominium, mayat tersangkut tingkat 20

SEORANG wanita ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat 28 sebelum mayatnya tersangkut di tingkat 20 di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya, hari ini.

Pengarah Bomba Negeri Selangor, Norazam Khamis, berkata mangsa seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dipercayai terjun dari tingkat 28 namun tersangkut di tingkat 20 di kondominium berkenaan.

Norazam berkata, pasukan penyelamat kemudiannya memulakan misi menyelamatkan dan membawa turun mangsa yang tersangkut.

“Anggota penyelamat menggunakan teknik ‘rope rescue’ dan dibawa masuk ke dalam bangunan iaitu melalui tingkap salah sebuah unit rumah di tingkat 20 bangunan bertingkat itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai insiden itu pada jam 8.09 pagi.

“Bertindak atas panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Damansara dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian itu dan tiba pukul 8.25 pagi.

“Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati wanita itu tidak sedarkan diri dan didapati sudah meninggal dunia sejurus selepas kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Bomba Selangor

Komen