493 mangsa banjir ditempatkan di 5 PPS

493 mangsa banjir ditempatkan di 5 PPS

JUMLAH keseluruhan mangsa yang terjejas akibat bencana banjir di seluruh negara kini dilaporkan seramai 493 orang membabitkan 140 keluarga yang ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Laporan terkini setakat jam 12 tengah hari tadi yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah berkenaan membabitkan mangsa di dua negeri iaitu Perak dan Selangor.

Menurut laporan itu, banjir di Perak membabitkan dua daerah iaitu di Hilir Perak dan Manjung dengan keseluruhan 314 mangsa daripada 92 keluarga.

“PPS yang dibuka adalah Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak di Hilir Perak yang menempatkan seramai 132 mangsa daripada 35 keluarga, manakala di Manjung membabitkan PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai dengan 182 mangsa daripada 57 keluarga.

“Di Selangor kawasan terjejas membabitkan 179 mangsa di daerah Sepang dengan tiga PPS dibuka iaitu Dewan Komuniti Dato Ahmad Razali (80 mangsa daripada 22 keluarga), Dewan Orang Ramai Dengkil (45 mangsa daripada 13 keluarga) dan Dewan Taman Gemilang (54 mangsa daripada 13 keluarga),” menurut laporan itu.

Laporan itu turut memaklumkan, situasi banjir ketika ini menunjukkan trend penurunan berbanding laporan terdahulu termasuk penutupan PPS Sekolah Rendah Agama Jelatang di Alor Gajah, Melaka hari ini. – Malaysiapost

Komen