ADUN PH kekal sebagai pembangkang di Melaka – Sulaiman

ADUN PH kekal sebagai pembangkang di Melaka – Sulaiman

LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) kekal sebagai pembangkang di DUN Melaka sekali pun gabungan itu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata seramai tujuh ADUN pembangkang ketika ini termasuk dua daripada Perikatan Nasional (PN) dalam DUN Melaka.

Melaka mempunyai 28 ADUN keseluruhan.

Beliau berkata, peranan ADUN PH akan kekal sebagai pembangkang dalam sidang DUN yang bermula 12 Disember ini.

“Status quo kerajaan negeri dan peranan PH selaku blok pembangkang DUN Melaka kekal dalam sidang pertengahan Disember ini, meskipun telah wujud kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Sulaiman berkata, Melaka terlebih dahulu meraikan pembangkang sebagai rakan strategik kerajaan negeri, walaupun BN dan PH belum mencipta persefahaman seperti berlaku pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan memberikan bantuan serta peruntukan kepada semua ADUN pembangkang bagi memudahkan mereka menyelesaikan masalah setempat.

“Saya pernah sebut dahulu sebelum tertubuhnya kerajaan perpaduan bahawa saya menganggap pembangkang sebagai rakan strategik.

“Saya tetap beri bantuan dan peruntukan kepada mereka. Akhirnya benda (kerjasama) itu jadi kenyataan,” katanya.

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lalu, BN kembali merampas Melaka selepas menguasai 21 DUN, lebih majoriti dua pertiga. – Malaysiapost

Komen