Bersama bina Malaysia yang stabil, makmur – Fadillah Yusof

Bersama bina Malaysia yang stabil, makmur – Fadillah Yusof

DATUK Seri Fadillah Yusof bersedia memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pelantikan itu adalah pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Blok Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.

“Ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

“Jawatan ini bukan untuk dibanggakan tetapi ia adalah amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan sejurus pengumuman barisan Kabinet Persekutuan oleh Perdana Menteri malam ini.

Ahli Parlimen Petra Jaya yang turut diberi tanggungjawab sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, beliau akan memikul tanggungjawab diberikan dengan berpaksikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mahu keutamaan diberikan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat demi Malaysia yang lebih stabil dan makmur.

“Semoga kita tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” katanya.

Fadillah bersyukur atas pelantikannya dalam Kerajaan Perpaduan, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berkuatkuasa selepas istiadat angkat sumpah esok.

“Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, di atas kebijaksanaan dan nasihat Baginda yang telah membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi menyelesaikan kemelut politik negara.

“Tahniah kepada Anwar atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 dan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjalankan amanah ini demi negara,” katanya.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, selaku Pengerusi GPS serta seluruh kepimpinan parti, Ahli-ahli Parlimen Sarawak, ahli-ahli parti dan rakyat Sarawak atas kepercayaan yang diberi. – Malaysiapost

Komen