BN beri laluan kepada calon PH di Padang Serai

BN beri laluan kepada calon PH di Padang Serai

BARISAN Nasional (BN) bersetuju untuk memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Sofee Razak bertanding di Parlimen Padang Serai.

Ia sebagai semangat kerjasama hubungan baharu yang terjalin antara BN dan PH melalui kerajaan perpaduan.

Keputusan BN untuk menarik diri daripada bertanding di Parlimen Padang Seri diumumkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ceramah yang berlangsung di Padang Serai malam ini.

“Dengan hubungan baharu yang dijalin di peringkat persekutuan, BN membuat keputusan untuk menyokong PH,” katanya malam ini.

BN diwakili Datuk C Sivaraj dari parti MIC.

Keputusan BN menarik diri daripada bertanding di Parlimen Padang Serai dibuat susulan tindakan PH membuka laluan kepada BN bertanding di DUN Tioman, Pahang.

Mohd Fadzli Mohd Ramly merupakan calon PH di Tioman memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Selain Sivaraj dan Mohamad Sofee, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk calon dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Bagaimanapun calon Warisan telah menarik diri lebih awal.- Malaysiapost

Komen