BN setuju bentuk Kerajaan Perpaduan bersyarat – Asyraf Wajdi

BN setuju bentuk Kerajaan Perpaduan bersyarat – Asyraf Wajdi

KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan terdapat beberapa syarat utama yang diberikan Barisan Nasional (PH) kepada Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang kini berjaya dibentuk.

Menurutnya, syarat kerjasama itu disepakati dalam Dokumen Perjanjian Kerjasama Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang akan disiarkan untuk tatapan umum selepas barisan Kabinet diumumkan.

Beliau berkata, antara perkara asas penting yang menjadi intipati dan disepakati dalam dokumen berkenaan yang menjadi syarat utama BN kepada PH ialah mengenai Islam, kepentingan Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.

“Ia untuk memastikan mengambil langkah yang perlu supaya dasar, program, pendirian, perlakuan dan pembawaan kerajaan, termasuk wakil parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, menjunjung peruntukan-peruntukan Perlembagaan berhubung kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu agar tidak dilihat mengguris atau melanggar soal-soal kepentingan Islam, Melayu/Bumiputera sertai institusi- institusi berkaitan.

“Insya-Allah dokumen perjanjian ini akan dijadikan dokumen untuk tatapan umum selepas pembentukan kabinet, bukan seperti perjanjian-perjanjian sulit sebelum ini yang mencetuskan keresahan banyak pihak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengumumkan barisan Jemaah Menteri yang baharu pada jam 8.15 malam ini.

Terdahulu, Anwar mengesahkan akan mengumumkan barisan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan pimpinannya hari ini selepas mempersembahkan senarai anggota Kabinet berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Beliau juga memberi jaminan tidak akan melantik terlalu ramai anggota Jemaah Menteri, begitu juga duta bertaraf menteri seperti kerajaan terdahulu. – Malaysiapost

Komen