Calon BN Padang Serai tarik diri?

Calon BN Padang Serai tarik diri?

CALON Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraj dilaporkan telah menarik diri daripada Pilihan Raya Umum Parlimen Padang Serai, kurang seminggu sebelum tarikh pengundian yang berlangsung 7 Disember ini.

Menurut sumber, tindakan demikian berkemungkinan untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH).

Sumber yang juga pemimpin BN itu mendakwa, keputusan tersebut dibuat secara sukarela dan Sivaraj akur dengan tindakan yang diambil, lapor FMT.

Bagaimanapun, sehingga kini, Sivaraj masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status percalonannya.

“Dia memutuskan untuk menarik diri (pertembungan) semalam. Ia adalah keputusannya sendiri, kami tidak memaksanya.

“Keputusan itu mengecewakan beberapa pemimpin akar umbi yang dilaporkan telah bekerja keras untuk berkempen untuknya,” kata sumber itu.

Pagi ini, petugas dilihat menurunkan sepanduk Sivaraj di beberapa jalan sekitar Lunas.

Jemputan ke ceramah bersama oleh pemimpin PH dan BN di Padang Serai malam ini telah dihantar.

Sivaraj sebelum ini menegaskan beliau tidak akan menyerahkan kerusi itu kepada PH dan akan terus berkempen.

Rabu lalu, Sivaraj berkata tidak menerima sebarang arahan daripada pucuk pimpinan BN untuk memberi laluan kepada pencabar lain.

Spekulasi mengenai penarikan diri daripada pilihan raya Padang Serai didorong lagi oleh ceramah bersama BN dan PH yang dianjurkan malam ini, majlis kedua mereka berkongsi pentas selepas pertama kali diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman beberapa hari lalu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Ketua BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua PH Kedah Mahfuz Omar dan calon PH Padang Serai, Dr Mohamad Sofee Razak, dijangka berucap pada ceramah tersebut.

Pilihan Raya Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember ekoran calon PH M Karupaiya meninggal dunia beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November lalu.

Selain Sivaraj dan Sofee, calon lain turut bertanding ialah Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas). – Malaysiapost

Komen