Dikaitkan dengan JDT, Syihan sah tinggalkan Negeri Sembilan

Dikaitkan dengan JDT, Syihan sah tinggalkan Negeri Sembilan

PENJAGA gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi bakal menyarung jersi pasukan baharu bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Ahmad Syihan, 26, sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Negeri Sembilan FC menerusi kenyataan di laman Facebooknya hari ini merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada penjaga gol tinggi lampai itu.

“Negeri Sembilan FC ingin merakamkan penghargaan kepada penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi atas khidmat dan bakti beliau sepanjang bersama pasukan.

“Syihan pernah mewakili skuad Jang dalam saingan Liga Super 2018 sebelum kembali ke Paroi untuk saingan 2022. Semoga terus berjaya dalam kerjaya,” tulis hantaran itu.

Baru-baru ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara berseloroh menyatakan baginda tidak mengenali Ahmad Syihan.

“Siapa Syihan? Saya tak kenal,” kata Tunku Mahkota Johor itu ketika ditemui media selepas aksi persahabatan antarabangsa antara JDT dan Borussia Dortmund.

Baginda ditanya media mengenai khabar angin JDT sudah menandatangani penjaga gol utama kebangsaan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023. – Malaysiapost

Komen