Guan Eng jawab spekulasi tiada dalam Kabinet Anwar

Guan Eng jawab spekulasi tiada dalam Kabinet Anwar

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng tampil menjawab spekulasi mendakwa dirinya tidak tersenarai dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan isu sama ada beliau berada dalam Kabinet atau tidak, bukanlah perkara utama kerana ia merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri.

“Saya telah ditanya berulang kali oleh media mengenai spekulasi bahawa saya tidak berada dalam (senarai) Kabinet.

“Sama ada saya berada dalam Kabinet atau tidak ia adalah perkara kedua, yang penting masa depan negara kita tidak boleh ‘dicuri’,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, beliau bersedia berkhidmat dalam apa juga kapasiti selagi ia memenuhi kepentingan negara.

“Apa yang lebih utama, Kerajaan Perpaduan sekarang yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh terus berfungsi dan kekal stabil daripada kuasa pelampau yang cuba melemahkan dan menjatuhkannya,” katanya.

Guan Eng menegaskan PH berhak berada dalam kerajaan selepas memenangi kerusi terbanyak dan undi popular terbesar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak Kerajaan Perpaduan ini mempunyai majoriti yang jelas yang mewakili kehendak rakyat.

“Kerajaan hari ini mewakili bukan hanya satu kumpulan tetapi setiap rakyat Malaysia dalam masyarakat kita yang pelbagai,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi dipercayai bagi mempersembah senarai barisan Jemaah Menteri.

Difahamkan, pertemuan itu berlangsung hampir sejam sebelum Perdana Menteri dilihat meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 9.16 pagi

Terdahulu, khabar angin bertiup kencang sejak semalam mendakwa, senarai Kabinet baharu atau sebahagian daripadanya bakal diumumkan Anwar petang ini. – Malaysiapost

Komen