Jawatan TPM bukan keutamaan, Sarawak mahu janji MA63 dihormati – Abang Jo

Jawatan TPM bukan keutamaan, Sarawak mahu janji MA63 dihormati – Abang Jo

JAWATAN Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam Kabinet persekutuan tidak pernah menjadi keutamaan Sarawak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Sarawak tidak pernah meminta balasan untuk kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, katanya, perkara yang dimahukan Sarawak adalah Kerajaan Persekutuan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita tak pernah meminta sebarang balasan terutama berkaitan jawatan tertinggi Kabinet.

“Soal TPM bukanlah keutamaan dan agenda kita. Namun jika diberi peluang, kita ambil, kenapa tidak,” katanya memetik Utusan Borneo.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan GPS Backbenchers Night ‘One for All, All for One’ (Sarawak First) di sebuah hotel di Kuching, malam tadi.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, beliau memohon Perdana Menteri baharu untuk memenuhi perkara yang termaktub dalam Perjanjian MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Jika ia diperkenankan, kita akan dapat mentadbir Sarawak seperti yang selalu disebut oleh Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem).

“Hanya orang Sarawak yang arif mengenai hal ehwal Sarawak dan kita akan mentadbir negeri ini berdasarkan MA63 serta IGC,” katanya. – Malaysiapost

Komen