Lebih 200 ahli Amanah keluar parti, Mat Sabu kata selamat maju jaya

Lebih 200 ahli Amanah keluar parti, Mat Sabu kata selamat maju jaya

PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu mengucapkan selamat maju jaya kepada pimpinan dan ahli Amanah Kedah yang keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan pemecatan bekas Pengerusi Amanah negeri itu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Menurut Mohamad, segala jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka kepada Amanah akan tetap dikenang dan dihargai.

Bagaimanapun, katanya, walaupun menghadapi pelbagai ujian dan rintangan, Amanah akan tetap bergerak ke hadapan selaras dengan cita-cita yang tergaris dalam perlembagaannya.

“Dalam mana-mana parti sekalipun, jatuh dan bangun adalah perkara biasa walaupun ada ahli-ahlinya yang meninggalkan parti atas alasan masing-masing.

“PKR umpamanya, pernah tinggal hanya satu kerusi sahaja selepas pilihan raya umum 2004.

“Terlalu ramai yang meninggalkan parti itu, termasuk pemimpin-pemimpinnya di pelbagai peringkat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Namun, tegas Mohamad, perjuangan tetap diteruskan oleh mereka yang setia dan hari ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Saya yakin dan percaya rakan-rakan dalam Amanah Kedah yang terus setia dengan perjuangan ini akan membawa parti kita ke aras lebih tinggi lagi,” katanya.

Semalam Phahrolrazi mendakwa 206 ahli termasuk pimpinan negeri sudah meninggalkan parti itu sejak 29 November lalu.

Antaranya Speaker Amanah Kedah, Kassim Mat Isa dan Timbalannya, Jamil Che Dan, selain Ketua Pemuda negeri, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepemimpinan Pemuda Amanah Kedah.

Phahrolrazi dipecat daripada parti itu pada 30 Oktober lalu kerana didakwa melanggar Perlembagaan Amanah.

Beliau berkata, tindakan 206 ahli dan pemimpin itu susulan pendirian pucuk pimpinan yang tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat dihantar 12 Ketua Kawasan Amanah di Kedah pada awal November lalu.

Surat itu berhubung permintaan untuk menerima semula beliau sebagai ahli sekali gus memegang kembali jawatan sebagai teraju Amanah Kedah. – Malaysiapost

Komen