Polis rampas methamphetamine bernilai RM6.14 juta

Polis rampas methamphetamine bernilai RM6.14 juta

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Selangor dan merampas 170.58 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM6.14 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Sunway, Subang Jaya, kelmarin.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Subang Jaya pada jam 3 petang itu turut berhaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi, berkata hasil serbuan polis berjaya merampas 166 bungkusan plastik yang terdiri 111 bungkusan teh Cina berwarna hijau dan kuning serta 55 bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine.

“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas dalam rumah terbabit adalah 170.58 kg yang dianggarkan bernilai RM6.14 juta.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan judi, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Sasikala Devi berkata, dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan kegiatan berkenaan aktif sejak dua bulan lalu.

“Polis juga bertindak menyita sebuah kereta jenis Honda City dianggarkan bernilai RM18,000, manakala suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dah Berbahaya 1952.

“Bekalan dadah dipercayai diperoleh dari luar negara dan rumah yang diserbu disyaki dijadikan stor penyimpanan dadah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenalpasti ahli sindiket yang lain. – Malaysiapost

Komen