Tubuhkan jawatankuasa siasat wujudnya parti politik promosi Islamofobia – Kit Siang

Tubuhkan jawatankuasa siasat wujudnya parti politik promosi Islamofobia – Kit Siang

LIM Kit Siang mencadangkan Kerajaan Persekutuan membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menerbitkan sebuah laporan mengenai sama ada wujudnya parti politik yang mempromosikan Islamofobia.

Veteran DAP itu berkata, ia susulan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia.

Menurutnya, penerbitan PAS, Harakah, hari ini juga menerbitkan satu artikel yang bertajuk “Dasar sekular DAP dan liberal PKR mewujudkan Islamofobia”.

“Tidak ada sebarang asas langsung kepada pertuduhan yang mengatakan DAP dan PKR bersifat Islamofobia ini, tetapi kerana tuduhan ini telah dibuat secara terang-terangan dan diulang-ulang, pertuduhan ini perlulah diambil serius walaupun tidak ada keperluan untuk reaksi yang melampau terhadap fitnah-fitnah ini.

“Saya cadangkan Kerajaan Persekutuan untuk membentuk sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada panel pakar Islam dan bukan Islam untuk menerbitkan sebuah laporan mengenai sama ada wujudnya parti politik yang mempromosikan Islamofobia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga perlu mengkaji isu Islamofobia dan fobia terhadap mana-mana agama, terutamanya dari sudut matlamat Rukun Negara untuk “mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat”.

“Jawatankuasa ini juga patut menjemput Presiden PAS, dan juga pemimpin PAS yang lain untuk memberikan kerjasama dengan membuktikan pertuduhan-pertuduhan mereka terhadap DAP dan PKR yang dikatakan sebagai mempromosikan Islamofobia ini.

“Jawatankuasa ini perlu diminta untuk memberikan cadangan mereka untuk memastikan Malaysia tidak terus terpolarisasi dan terpecah belah dengan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan,” katanya.

Kit Siang menegaskan, tuduhan mempromosikan Islamofobia yang dilihat boleh menjejaskan Rukun Negara dan perpaduan negara hendaklah dipandang serius.

“Perkara ini adalah satu perkara mendesak yang memerlukan perhatian mesyuarat Kabinet pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) selepas Kabinet ini dibentuk dan diumumkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen