2 TPM, 25 Menteri selesai angkat sumpah jawatan

2 TPM, 25 Menteri selesai angkat sumpah jawatan

DUA Timbalan Perdana Menteri dan 25 Menteri selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, petang tadi

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis itu. Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Udara Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Kesemua Jemaah Menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menteri-menteri itu mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman pembentukan Jemaah Menteri baharu oleh Anwar yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan.

Pada majlis itu, menteri-menteri itu dibahagikan kepada enam kumpulan dengan kumpulan pertama dimulakan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Jemaah Menteri kerajaan perpaduan dijadualkan menghadiri mesyuarat khas Isnin ini di Putrajaya untuk penetapan peraturan-peraturan baharu dalam pentadbiran sebelum memulakan tugas secara rasmi di kementerian masing-masing. -Malaysiapost

Komen