Anwar gadai prinsip lantik kleptokrat anggotai Kabinet – Muhyiddin

Anwar gadai prinsip lantik kleptokrat anggotai Kabinet – Muhyiddin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa telah menggadai prinsip tatakelola baik seperti yang dijaja semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila melantik kleptokrat menganggotai kabinet.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengumuman Kabinet baharu adalah paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila individu mempunyai 47 pertuduhan jenayah pecah amanah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri.

“Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar mengumumkan mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang membabitkan 28 menteri termasuk beliau yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan selain Perdana Menteri.

Sementara, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan keputusan Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewangan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri itu mempersoal kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap kepimpinan Anwar yang ternyata berbohong mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat.

Katanya lagi, prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang ditekankan Anwar sebelum ini nyata dikompromi.

“Selain itu, Ahli Parlimen yang dikenali dengan sikap cauvinis melampau dilantik menerajui kementerian tertentu yang bakal mengundang kontroversi. Boleh dijangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan.

“Agenda reformasinya hanya deringan kosong apabila beliau tidak dapat berdiri untuk mempertahankan perjuangan partinya sendiri untuk memerangi rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik.

“Nilainya sebagai pemimpin sejati yang patut dihormati dan dihormati kini amat diragui,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata sistem negara telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet.

Ujarnya, rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap rakyat telah tiada dan rakyat juga hilang percaya terhadap tonggak kepimpinan negara. – Malaysiapost

Komen