Arkitek dedah rahsia stadium di Qatar sentiasa sejuk, selesa

Arkitek dedah rahsia stadium di Qatar sentiasa sejuk, selesa

PEMINAT sukan bola sepak pasti tidak melepaskan peluang setia di kaca televisyen atau medium atas talian menonton perlawanan Piala Dunia FIFA 2022 sedang berlangsung, di Qatar.

Qatar membelanjakan RM925 bilion untuk menganjurkan Piala Dunia pada tahun ini dan jumlah itu adalah 20 kali ganda daripada jumlah yang dikeluarkan Russia bagi menganjurkan edisi 2018.

Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana situasi sebenar penonton pemain yang sedang berada di dalam stadium di Qatar ketika itu?

Adakah mereka berasa selesa bersesak-sesak dalam stadium mewah itu, kerana seperti umum tahu Qatar adalah sebuah negara bercuaca panas.

Perkongsian seorang arkitek, Ahmadkhairul Sabirin Ahmad Rosli di Facebook, menerangkan teknologi yang dibangunkan Qatar bagi memastikan cuaca panas tidak menjejaskan perlawanan Piala Dunia 2022.

Ahmadkhairul Sabirin berkata, Qatar mempunyai ‘ladang’ tenaga solar yang menggerakkan sistem penghawa dingin di stadium bagi memastikan suhu tetap berada di tahap 20 darjah Celsius.

Katanya, sistem penghawa dingin yang digunakan tidak menyejukkan keseluruhan stadium, tetapi tertumpu pada tempat-tempat yang perlu sahaja seperti kawasan pemain dan tempat duduk penonton.

Selain itu, Ahmadkhairul Sabirin menerangkan rekaan stadium itu sendiri memainkan peranan bagi mengurangkan rasa panas sampai ke dalam stadium.

“Bentuk stadium itu sendiri berfungsi untuk maintain cold bubble di kawasan dalam stadium supaya keadaan dalam stadium kekal selesa untuk penonton dan pemain bola. Hebat kan?

“Design stadium ni, bukan calang-calang arkitek yang design. AECOM, Foster dan Zaha Hadid antaranya,” tulisnya.

Ujarnya, bagi mendapatkan rekaan stadium menepati identiti negara dan dalam masa sama memastikan perlawanan Piala Dunia berjalan lancar bukan satu perkara yang mudah. – Malaysiapost

Komen