DAP hormat keputusan Anwar lantik Zahid TPM

DAP hormat keputusan Anwar lantik Zahid TPM

DAP menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah keputusan prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, partinya menghormati pelantikan Presiden Umno itu sebagai Timbalan Perdana Menteri selain mengakui kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan disokong sebulat suara Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan Ahli Parlimen parti itu.

Beliau berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak hanya membabitkan Ahmad Zahid secara individu, sebaliknya penyertaan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan, selain menjelaskan prinsip itu difahami di semua peringkat kepemimpinan DAP.

“Ini adalah Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada empat gabungan iaitu Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan pelbagai parti lain.

“Justeru, dalam konteks Kerajaan Perpaduan ini, apabila bergabung untuk bentuk kerajaan, ada prinsip mesti dipatuhi, siapa yang akan mewakili gabungan mereka. Itu perlu ada persetujuan daripada gabungan terbabit dan ia adalah perbincangan antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.

“Kita perlu ada persefahaman (mengenai) prinsip ini. Sekiranya tidak menghormatinya, maka gabungan ini tidak akan berjaya dibentuk,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming; Timbalan Setiausaha Agungnya, V Sivakumar dan Penolong Setiausaha Publisitinya, Hannah Yeoh.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, perbincangan mengenai agenda negara menjadi tumpuan Kabinet Kerajaan Perpaduan, melangkaui pertuduhan kes mahkamah membabitkan Ahmad Zahid.

“Itu terpulang kepada mahkamah, kita hanya bincangkan agenda negara. Kes atau peribadi masing-masing tak akan disentuh atau dibincangkan. Hanya agenda untuk rakyat dan negara. Itu pendirian kita dan ini adalah pendekatan politik baharu yang kita semua perlu bersama-sama belajar mengenai kerjasama.

“Namun, ia bukan bermakna kita mengiyakan rasuah dan sebagainya. Kerajaan ini ditadbir berasaskan peraturan perundangan, Rukun Negara dan ini adalah perkara utama yang perlu ditegakkan,” katanya. -Malaysiapost

Komen