Gobind tolak sertai Kabinet atas faktor peribadi

Gobind tolak sertai Kabinet atas faktor peribadi

GOBIND Singh Deo tidak dapat menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan atas pertimbangan peribadi.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu memberitahu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempelawa beliau menyertai barisan Kabinet namun menolaknya atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Damansara itu menegaskan akan terus membantu Anwar serta kerajaan dalam usaha mereka memimpin negara ke tahap yang lebih baik.

“Begitu ramai yang bertanya kenapa saya tidak tersenarai dalam Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam. Anwar meminta saya menjadi sebahagian daripada Menteri Kabinetnya.

“Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan perkara itu, saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak dapat berbuat demikian dan akan memberi tumpuan terhadap peranan saya sebagai Ahli Parlimen serta membantu kerajaan dalam segala cara yang saya boleh lakukan,” katanya di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) atas pelawaan yang diberikan sebelum ini.

“Saya sekali lagi menyatakan keyakinan penuh saya terhadap kepemimpinan beliau dan percaya bahawa beliau akan berjaya membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Gobind pernah menjawat jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia pada era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad susulan PH menang pada PRU14, 2018.

Selain Gobind, turut tidak dinamakan dalam Kabinet Anwar kali ini dan pernah memegang portfolio menteri sebelum ini adalah Pengerusi Kebangsaan DAP, yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran. -Malaysiapost

Komen