Hentikan provokasi, tindakan cetus kegusaran rakyat – Zahid

Hentikan provokasi, tindakan cetus kegusaran rakyat – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua pihak menghentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), meminta supaya ketenteraman dan perpaduan masyarakat tidak diganggu, dalam usaha kerajaan baharu meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini.

“Mari kita bersama sebagai rakyat Malaysia bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik beliau dan Ahli Parlimen BN menerajui kabinet kerajaan perpaduan.

“Saya dengan rendah hati bersyukur kepada Allah SWT diatas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi (malam tadi).

“Amanah ini bukanlah ghanimah (harta rampasan perang), namun satu taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, beliau yakin kerajaan perpaduan yang terbentuk ini mampu menangani cabaran demi kepentingan negara dan rakyat.

“Namun dengan syarat semua pihak haruslah menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang telah terpilih dan semoga gandingan semua pihak ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa kepada negara,” katanya.

Anwar malam tadi mengumumkan Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang akan turut menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. – Malaysiapost

Komen