Kenyataan Muhyiddin fitnah, tuduhan keterlaluan terhadap PM, kerajaan

Kenyataan Muhyiddin fitnah, tuduhan keterlaluan terhadap PM, kerajaan

KETUA Penerangan PKR, Fahmi Fadzil megingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan hari ini bukan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang mana Perdana Menteri boleh melantik sesiapa sahaja yang diingini.

Fahmi berkata, sebaliknya ia adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara bersama, di mana dasar atau keputusan penting akan dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri.

“Ini satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, di mana pelantikan Jemaah Menteri seringkali dibuat bukan mengikut saluran pimpinan utama parti.

“Pada ketika itu, kita saksikan kelompok-kelompok kartel dalam parti dipersenjatakan (weaponised) lalu mewujudkan keadaan ‘parti dalam parti’ yang akhirnya merosakkan kestabilan politik dalaman parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Komunikasi Digital itu berkata demikian bagi menjawab kenyataan Muhyidddin yang mendakwa tindakan Anwar melantik kalangan ‘kleptokrat’ telah menggadai prinsip tatakelola baik, seperti yang dijaja sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas Fahmi, kenyataan Muhyiddin itu dilihat sebagai fitnah dan tuduhan keterlaluan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Fahmi menyifatkan pendekatan Anwar berbeza dengan tiga pentadbiran sebelum ini, yang mana Perdana Menteri, ketua parti bersetuju senarai calon Jemaah Menteri akan ditentukan parti atau gabungan masing-masing.

“Sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak berpuas hati, janganlah marah atau melemparkan tohmahan kepada Perdana Menteri, kerana bukan Perdana Menteri yang menamakan calon-calon dari parti atau gabungan lain.

“Penting saya tegaskan komitmen Perdana Menteri bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes.

“Muhyiddin sendiri punyai banyak isu yang mungkin perlu diteliti kelak, termasuk isu 1BestariNet dan isu dana RM500 bilion yang dikatakan dibelanjakan sewaktu tempoh pandemik,” katanya. – Malasyiapost

Komen