‘Kerajaan hari ini kerajaan luar tabii’ – Sanusi

‘Kerajaan hari ini kerajaan luar tabii’ – Sanusi

GELOMBANG sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu bukan membawa kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PN).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ia kerana ketika berkempen PH dan BN saling menuduh sesama sendiri.

“Tsunami rakyat yang melanda negara kita pada PRU15 tidak sama sekali bermaksud PH bergabung dengan BN.

“Waktu kempen PH kata BN penyamun. BN pun kata ‘no Anwar no DAP’. Bila mai PRU, depa (mereka) bergabung. Rakyat kena muhong (bohong).

“La (sekarang) ni depa sedang menormalkan benda luar tabi’ie yang depa dah buat tu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sementara itu, dalam ceramah kempen di Padang Serai malam tadi, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan PH-BN yang tidak memenuhi aspirasi keseluruhan rakyat yang menuntut sebuah kerajaan yang bersih dan stabil.

“Tsunami yang melanda ini yang patut difahami oleh semua orang daripada budak sampai ke orang tua ialah tsunami Melayu.

“Tsunami hendak kepada kerajaan bersih, stabil, prihatin bukan kerajaan kleptokrasi berpakat dengan menubuhkan kerajaan… Kerajaan ini kerajaan luar tabii,” katanya.

Kenyataan itu mengulas gabungan PH dan BN dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malam tadi, Anwar mengumumkan mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang membabitkan 28 menteri termasuk beliau yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan selain Perdana Menteri.

Beliau juga mengumumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang masing-masing turut memegang portfolio kementerian lain.

Spekulasi mengenai pemimpin BN yang akan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan baharu terjawab apabila Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. – Malaysiapost

Komen