Parti lebih berjaya jika tidak mencipta keburukan terhadap lawan – Nik Abduh

Parti lebih berjaya jika tidak mencipta keburukan terhadap lawan – Nik Abduh

PARTI yang tidak mengamalkan budaya mengecam musuhnya sehingga sanggup mencetuskan persepsi buruk pasti akan lebih berjaya.

Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz berkata, walaupun mencipta persepsi buruk ke atas lawan akan memudahkan meraih undi, namun ianya tidak dibenarkan syarak.

“Mengkritik kerajaan secara lembut atau keras, kedua-duanya adalah dibenarkan oleh syarak dalam ruang dan sempadannya. Ia terikat pula dengan fakta dan akhlak.

“Tohmahan, tuduhan, persepsi dan gelaran buruk yang direka-reka ke atas lawan, walaupun mudah membuahkan sokongan, undi, bahkan kemenangan, hakikatnya ia petunjuk awal daripada Allah bahawa si penuduh itulah yang nantinya akan menelan ludahnya sendiri. Siapa menggali lubang, dia sendiri akan jatuh di lubang itu.

“Kita sering menyaksikannya dalam politik negara kita sedari dulu hingga kini. Ia tanda tidak sihat. Parti mana yang berjaya menjauhinya, ia akan lebih kekal dan berjaya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Pemimpin PAS yang digugurkan sebagai calon parti itu pada PRU15 lalu itu, turut menyeru semua pihak memelihara keamanan yang dikecapi negara ketika ini

“Kewajiban umat adalah bersatu menjaga keharmonian negara. Tiada erti keharmonian jika agama Islam tidak dijaga dan dipertahankan. Ia retak menanti belah,” katanya. -Malaysiapost

Komen