Paru-paru masih lemah, Nad Zainal ditidurkan semula

Paru-paru masih lemah, Nad Zainal ditidurkan semula

SELEPAS dilaporkan tidak lagi menggunakan alat bantuan oksigen dan sudah mula bercakap, pelakon Nad Zainal terpaksa direhatkan semula berikutan keadaan paru-paru yang belum kuat.

Perkhabaran itu dikongsi sahabat karibnya, pelakon Ungku Ismail Aziz, 36, yang menziarahi Nad di hospital, petang semalam.

“Nad Zainal kena intube (ditidurkan) semula. Ini kerana paru-parunya belum cukup kuat untuk dia bernafas sendiri walaupun dengan penggunaan high low oxygen mask di ICU,” katanya dalam video di Instagram.

Menurutnya, pelakon Takdir Yang Tertulis masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) namun kesihatannya semakin menunjukkan perkembangan positif.

Kata Ungku Ismail, tahap oksigen dalam darah Nad merosot selepas pihak hospital mencabut alat bantuan oksigen yang disambung pada pelakon itu.

“Disebabkan paras oksigen merosot, pihak hospital mengambil langkah meletakkan Nad dalam keadaan rehat.

“Semalam dia sudah sedar bagaimanapun oksigen mula merosot pada sebelah malam,” ujarnya.

Semalam, dilaporkan Nad menunjukkan tanda-tanda positif dan sudah boleh bercakap, walaupun masih dalam keadaan lemah.

Nad juga sudah boleh memegang telefon, dan beberapa rakan artis berkesempatan membuat panggilan video dengannya.

23 November lalu, media melaporkan Nad sedang kritikal di ICU Hospital Ampang Puteri dipercayai akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. – Malaysiapost

Komen