‘Saya agak akan dilantik ke KDN, tak sangka jadi Menteri Pertanian’ – Mat Sabu

‘Saya agak akan dilantik ke KDN, tak sangka jadi Menteri Pertanian’ – Mat Sabu

PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu tidak menyangka akan dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam barisan Kabinet baharu diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

Ini kerana, katanya beliau menjangkakan akan dipilih untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya agak saya akan dilantik ke KDN kerana sebelum ini saya terlibat dalam banyak hal pertahanan tapi tak sangka pergi ke menteri pertanian.

“Apa pun kita dalam satu pasukan yang mana sebarang kekurangan akan dibincang secara bersama,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam kempen pertama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi pengundian di Parlimen Padang Serai, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, bidang pertanian dan keterjaminan makanan adalah baharu baginya dan perlu mendapatkan taklimat dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan baharu.

“Ia adalah satu benda baharu kepada saya dan saya akan dengar dahulu taklimat daripada pegawai-pegawai daripada kementerian mengenai setakat mana persediaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai barisan Kabinet baharu, Mohamad berkata barisan menteri perlu bekerja lebih kuat susulan pengecilan jumlah menteri.

“Kita terpaksa memikul kerja yang lebih besar dan berat kerana (jumlah) menteri lebih kecil sekarang dan dia (Perdana Menteri) mahu hasil yang lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya.

Mohamad berkata pelantikan semua menteri itu adalah proses awal berikutan akan terdapat pelantikan timbalan menteri selepas ini.

“Ini baru peringkat menteri, akan diikuti timbalan menteri dan lantikan lain.

“Perbincangan akan disambung semula untuk mengisi jawatan lain selepas pembentukan kerajaan perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berharap harga makanan di negara ini akan turun tidak lama lagi apabila ringgit lebih mengukuh. – Malaysiapost

Komen