Selepas ‘berehat’ sepenggal, Ahmad Zahid kembali ke Putrajaya

Selepas ‘berehat’ sepenggal, Ahmad Zahid kembali ke Putrajaya

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali ke Putrajaya selepas ‘berehat’ sepenggal daripada arena pentadbiran negara setelah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan.

Bukan lagi nama asing dalam dunia politik tanah air, Presiden Umno berusia 69 tahun itu pernah memikul tanggungjawab sebagai pemimpin nombor dua negara pada 2015 semasa Barisan Nasional (BN) memerintah Malaysia, lapor Bernama.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berasal dari Kampong Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk dan pernah memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bapa kepada lima anak hasil perkongsian hidupnya bersama Datin Seri Hamidah Khamis, juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dan Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera BA (Hons) dari Universiti Malaya pada 1976, Ijazah Sarjana dalam Sains (Komunikasi KCorporate Communication) UPM pada tahun 2000 dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi juga dari UPM pada 2008.

Dalam kerjaya politiknya, Ahmad Zahid pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk sebelum dilantik Ketua Pemuda Umno Perak, Ketua Penerangan Pemuda Umno, Ketua Pemuda Umno dan Ketua Umno Bahagian Bagan Datuk serta Pengerusi BN sehingga kini.

Selain itu Ahmad Zahid juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Dalam sektor swasta pula, Ahmad Zahid pernah bertugas sebagai pegawai bank, Pengurus Pemasaran Amanah Saham Nasional, Pengerusi Tranwater Corporation Bhd dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara (SPNB).

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Penolong Pengurus Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 1977 sehingga 1979 sebelum menjadi Pengerusi BSN pada 1994 sehingga 1999.

Di Perak, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Majuperak Bhd dan Pengerusi Harta Perak Corporation Bhd.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ahmad Zahid berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 348 undi apabila memperoleh 16,578 undi menewaskan pencabar utamanya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin daripada Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 16,230 undi. – Malaysiapost

Komen