Zahid akui jawatan TPM bukan kemenangan, tetapi permulaan cabaran

Zahid akui jawatan TPM bukan kemenangan, tetapi permulaan cabaran

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan suatu kemenangan kepada sebuah perjuangan tetapi permulaan untuk menghadapi cabaran mendatang.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahdi turut berkongsi beberapa keping gambarnya menanti detik-detik pengumuman Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menzahirkan rasa syukur di atas pelantikan itu, selain berterima kasih kepada pihak yang sentiasa menyokong serta mendoakannya.

“Mengikuti pengumuman Kabinet Malaysia oleh PM bersama keluarga tercinta, para sahabat dan saf kepimpinan tertinggi parti di Yayasan Al Falah Country Height semalam.

“Ia bukan kemenangan sebuah perjuangan namun adalah satu permulaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan tiba sebaik sahaja diberi amanah memegang jawatan ini.

“Terima kasih atas doa tidak henti dan sokongan begitu ikhlas dari semua. Moga Allah akan membalasnya,” tulisnya.

Semalam, Ahmad Zahid dan Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kewujudan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah julung kali diadakan setelah mengambil kira penyertaan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kerajaan perpaduan.

Ahmad Zahid juga akan memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Fadilah pula sebagai Menteri Komoditi. – Malaysiapost

Komen