4 kriteria pegangan PN sebagai pembangkang

4 kriteria pegangan PN sebagai pembangkang

PERIKATAN Nasional (PN) berpegang empat kriteria sebagai pembangkang melalui pendekatan konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, empat kriteria itu akan dilaksanakan dengan efektif untuk memainkan peranan semak dan imbang berkesan serta menguntungkan rakyat dan negara.

Menurutnya, janji itu akan ditunaikan melalui perbahasan yang lebih efektif, membina, membangun polisi yang menguntungkan rakyat dan mestilah jujur sebagai suara rakyat.

“Sebelum ini, PN ada kemukakan hujah sekiranya ingin mewujudkan kerjasama yang baik antara kerajaan dan pembangkang, perkara yang perlu diutamakan ialah pemberian peruntukan Ahli Parlimen mestilah sama rata.

“Perkara ini juga termaktub dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairil Nizam berkata, PN juga melihat bahawa hubungan simbiotik antara pembangkang dan kerajaan perlu dilaksanakan dengan telus tanpa syarat seperti yang diamalkan pemerintahan sebelum ini.

Katanya, agenda transformasi institusi Parlimen wajib diutamakan seperti pemerkasaan Jawatankuasa kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memastikan setiap perjalanan kerajaan berasaskan integriti dan kepentingan rakyat, menolak budaya rasuah, kronisme dan monopoli.

“Kita semua mengimpikan kerajaan yang tidak mengungkit dendam dan sengketa lama tetapi terus fokus dalam agenda membantu rakyat mendepani kemelut ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen