Adakah nasib masyarakat India akan lebih baik dibawah pimpinan Anwar? – Saravanan

Adakah nasib masyarakat India akan lebih baik dibawah pimpinan Anwar? – Saravanan

MAJORITI masyarakat India di Malaysia mengundi Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana mengharapkan perubahan dan mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, berkata bagi golongan berkenaan, Anwar seolah-olah menjadi penyelamat masyarakat India.

“Perkara yang sama yang mereka lihat dalam Dr Mahathir (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) tetapi malangnya, pemimpin tidak dimamah usia itu mengecewakan mereka.

“Kerajaan pimpinan Dr Mahathir walaupun dengan empat menteri penuh berbangsa India, mereka tidak membawa apa-apa perubahan (kepada kaum India),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, lebih teruk keempat-empat menteri berkenaan gagal mengekalkan 2,200 kerusi Program Matrikulasi yang diberikan kepada pelajar India oleh Perdana Menteri Malaysia keenam Datuk Seri Najib Razak.

“Ini hanyalah satu contoh daripada pelbagai faedah yang diberikan oleh kepimpinan Najib kepada masyarakat India yang tidak pernah diberikan oleh perdana menteri lain.

“Apabila ditanya rancangan masa depan kaum India, jawapan stereotaip empat menteri berkenaan adalah keupayaan bekerja untuk Malaysia yang lebih baik. Isu-isu kaum India yang diperjuangkan semasa mereka berkempen ditinggalkan,” katanya.

Saravanan berkata seorang daripada menteri berkenaan, M Kulasegaran yang juga pemimpin DAP turut mengadakan lawatan ke seluruh negara untuk memberitahu kaum India bahawa beliau mempunyai ‘blue print’ yang boleh menyelesaikan ‘delima India’ dalam tempoh 100 hari PH memerintah ketika itu.

“Bagaimanapun Itu tidak berlaku semasa dia memegang jawatan. Dia benar-benar menjadi pekak dan bisu dalam isu masyarakat India.

“Seorang lagi menteri yang mendakwa beliau adalah penyelamat masyarakat India P Waytha Moorthy, juga menjadi bisu dan pekak dalam isu kaum India.

“Pengasas Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu dilihat terus memperjuangkan isu Orang Asli, namun mengabaikan isu masyarakat India,” katanya.

Saravanan mendakwa, pemimpin India dalam PH juga berterusan menghentam MIC dengan menuduh parti itu menipu dan merompak kaum India.

“Walaupun tidak dapat membuktikan tuduhan yang dibuat, mereka meneruskan propaganda terhadap MIC selama bertahun-tahun hingga menyebabkan masyarakat India terpedaya dengan fitnah dan propaganda mereka.

“MIC pula, gagal menentang propaganda ini yang menyaksikan mereka tewas dalam pertempuran dan kehilangan banyak kerusi sejak 2008. Mungkin MIC memandang ringan kempen kebencian ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen