Beri masa kepada Anwar dan barisan Kabinetnya – Kulasegaran

Beri masa kepada Anwar dan barisan Kabinetnya – Kulasegaran

NAIB Pengerusi DAP M Kulasegaran, menggesa rakyat untuk melihat gambaran yang lebih besar membabitkan barisan Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding kepentingan mana-mana parti atau individu.

Menurutnya, ketika ini ramai yang menyuarakan kekecewaan dan mempersoalkan mengapa beliau tidak terpilih menganggotai barisan Kabinet Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“Pelbagai pihak bertanya kenapa saya tidak dipilih sebagai salah seorang ahli Kabinet pimpinan Anwar. Mereka ini menyuarakan kekecewaan dan hampa kerana merasakan mereka sepatutnya gembira selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selesai.

“Saya menggesa mereka untuk melihat gambaran lebih besar. Inilah barisan Kabinet yang kita perlukan pada masa ini. Jemaah Menteri inilah yang mendapat sokongan semua parti komponen PH.

“Ia adalah Kabinet yang bertujuan untuk memperbaiki perpecahan di kalangan rakyat kita dan menyatukan kita sekali lagi dengan matlamat yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, berkata matlamat bersama itu adalah untuk membina semula negara ini selepas apa yang telah dilalui sejak dua tahun lalu.

“Saya juga mengingatkan mereka bahawa ini bukan kerajaan PH tetapi Kerajaan Perpaduan. Mereka perlu memahami maksud dan peranannya,” katanya.

Justeru, Kulasegaran meminta semua pihak menyokong kepimpinan Anwar dan barisan Jemaah Menteri yang baru dibentuknya.

“Kita perlu bersabar kerana untuk memulihkan apa yang telah sekian lama rosak memerlukan masa dan sokongan daripada kita semua.

“Kita kini kembali berada di landasan yang betul,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyeru agar rakyat memberi sokongan, Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar, yang dilantik menjadi Menteri Sumber Manusia, jawatan yang pernah dijawatnya ketika PH memerintah negara.

“Kementerian ini adalah antara kementerian yang paling penting di negara kita. Saya pasti Sivakumar akan dapat menerajuinya.

“Sivakumar mempunyai pengalaman politik yang luas dan keupayaan untuk memacu kementerian ke hadapan. Jika perlu, seluruh pasukan kami dan saya sentiasa ada untuk menghulurkan bantuan kepadanya,” katanya. – Malaysiapost

Komen