Kerajaan wajib ada integriti

Kerajaan wajib ada integriti

WARTAWAN Veteran, Datuk A Kadir Jasin menegaskan pembentukan Kerajaan Perpaduan wajib mempunyai integriti, bukannya angkat muat dengan memilih individu bermasalah menjadi menteri.

Apa sahaja jenis kerajaan, katanya, ciri-ciri yang baik hendaklah diutamakan, selain perlu seimbang dari segi pemilihan anggota Kabinet.

“Kerajaan Perpaduan tidak bermaksud angkat muat; tidak kira permata atau kaca, yang berakhlak atau tidak.

“Yang kalah dilantik menteri. Yang menang diketepikan. Ketidakadilan boleh meleraikan muhibah dan perpaduan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan juga bukan saja harus memuaskan hati Perdana Menteri, menteri dan para penyokong mereka, tetapi wajib ada integriti.

“Lebih daripada itu, ia harus memuaskan hati atau sekurang-kurangnya pun menenangkan perasaan 14.82 juta rakyat yang keluar mengundi.

“Malangnya, atas alasan Kerajaan Perpaduan, pelantikan kontroversial yang dulu dielakkan oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilakukan.

“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri menjustifikasikan pelantikan orang yang ada kes mahkamah menggunakan alasan ‘innocent until proven guilty’, kebimbangan kita adalah hujah itu akan menjadi ‘self-fulfilling prophesy’,” katanya.

Kadir berpendapat, orang yang menggunakan hujah berkenaan mungkin mahu pendapatnya itu menjadi kenyataan.

“Sebagai Perdana Menteri, Anwar mempunyai kuasa eksekutif yang cukup besar untuk menjadikan apa yang dia mahu jadi, terjadi. Satu prospek yang ngeri,” katanya. – Malaysiapost

Komen