Muhyiddin perlu berhenti merengek, merungut – TPM

Muhyiddin perlu berhenti merengek, merungut – TPM

TINDAKAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sekutunya mempertikaikan barisan Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Presiden Bersatu itu perlu menghormati pelantikan yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Mahiaddin (Muhyiddin) seolah-olah terus meroyan apabila gagal dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak sampai 24 jam kabinet angkat sumpah Mahiaddin menuduh pembentukan kerajaan dan kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.

“Mahiaddin lupa kuasa perlantikan Perdana Menteri ialah atas kuasa Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menegaskan pelantikan Anwar diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga adalah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu.

“Begitu pelantikan kabinet. Perdana Menteri telah mempersembahkan senarai semua ahli jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapat perkenan Baginda. Selepas mendapat perkenan barulah diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Dengan kata lain, pelantikan Perdana Menteri kemudian disusuli oleh pelantikan ahli jemaah Menteri ialah perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan itu adalah gambaran wajah sebenar tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

“Mahiadin dan sekutunya perlu berasa malu dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan institusi Raja-Raja Melayu dan perlu mencontohi parti DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Mahiaddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan. Belajarlah juga menghormati proses dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan hari ini bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi Kerajaan Perpaduan hasil gabungan parti terbesar dan parti-parti kecil lain untuk membina negara dan mentadbir lebih baik daripada kerajaan-kerajaan terdahulu.

Menurutnya, kritikan Muhyiddin terhadap Perdana Menteri yang memegang jawatan Menteri Kewangan juga adalah tidak wajar kerana keperluan semasa memerlukan Anwar yang pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik untuk menangani masalah ekonomi negara.

“Anwar juga pernah mendapat The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.

“Sudah pasti pelabur asing lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan menteri kewangan,” katanya.

Ahmad Zahid turut mendakwa, Muhyiddin kini sangat ketakutan dan terdesak untuk menjadi perdana menteri hingga sanggup melanggar adat dan adab dengan membuat kritikan terhadap Istana Negara sejak awal proses menamakan Perdana Menteri.

Terdahulu Muhyiddin dalam satu kenyataan mendakwa Anwar telah menggadai prinsip tatakelola baik apabila melantik kleptokrat menganggotai kabinet.

Menurutnya, pengumuman Kabinet baharu adalah paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila individu mempunyai 47 pertuduhan jenayah pecah amanah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen