Pelantikan TPM satu amanah dan tanggungjawab besar – Fadillah

Pelantikan TPM satu amanah dan tanggungjawab besar – Fadillah

DATUK Seri Fadillah Yusof menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai satu sejarah dan pengiktirafan besar kerana buat pertama kalinya wakil dari Borneo dilantik ke jawatan kedua tertinggi dalam negara.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi akur tugas berat menantinya, namun ia akan digalasnya dengan penuh tanggungjawab dan berjanji untuk melakukan yang terbaik.

“Tanggungjawab ini adalah besar. Sudah pasti harapan rakyat di Sabah dan Sarawak juga begitu tinggi sekali.

“Saya sedar saya bukanlah orang yang terbaik untuk jawatan ini, tetapi saya akan memikul dan menggalasnya dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berjanji akan memberi komitmen penuh dalam memastikan khususnya jurang pembangunan antara wilayah dapat dirapatkan dalam semua aspek termasuk sosial dan ekonomi.

Menurutnya, beliau akan berusaha merapatkan jurang dalam konteks perpaduan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

“Kita mahu mewujudkan sebuah negara yang harmonis dan hidup bersatu padu serta saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum dan agama,” katanya.

Fadillah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi peluang berkhidmat dalam Kabinet Perpaduan.

“Terima kasih juga Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg), kepimpinan parti, Ahli Parlimen Sarawak dan semua rakyat Sarawak di atas kepercayaan yang diberi,” katanya.

Fadillah, 60, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpengalaman luas dalam Kabinet dan pernah berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri.

Beliau mula diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat apabila dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada 2013 dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak dan terus diberi kepercayaan mengetuai kementerian itu di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Ogos tahun lalu. – Malaysiapost

Komen