Pelantikan Zahid berdasarkan hierarki Umno – Ahmad Maslan

Pelantikan Zahid berdasarkan hierarki Umno – Ahmad Maslan

TINDAKAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan bermotifkan kepentingan politik sebaliknya berdasarkan hierarki beliau dalam Umno.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pelantikan Ahmad Zahid bertujuan memberikan kestabilan kepada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah di Dewan Rakyat.

“Tidak pernah satu Kabinet pun yang tidak menerima kritikan…berapa banyak kali kita melihat ada satu perkara yang 100 peratus sempurna. Mesti ada pihak yang tidak bersetuju di sana sini.

“Jika kita memberikan kepada orang lain selain Presiden (Ahmad Zahid), kestabilan itu agak tercabar. Kestabilan pertama dalam Umno dan kedua dalam Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

“Oleh itu kita ingin kestabilan dan mengikut hierarki parti satu perkara yang sesuai dibuat pada saat ini,” katanya kepada media selepas menghadiri program ceramah di Kampung Pianggu di Rompin, malam tadi.

Ahmad turut menjelaskan, maklum balas positif diterima daripada peringkat akar umbi parti berkenaan barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri.

“Kita sedar kita hanya ada 30 kerusi dan enam wakil (menjadi menteri) pada pandangan kita Alhamdulillah, walaupun kita meminta lebih. Kita tunggu senarai timbalan menteri pula,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) antara 27 jemaah Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Ahmad Zahid juga akan memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. – Malaysiapost

Komen