PM dilantik Menteri Kewangan langkah terkebelakang – Radzi

PM dilantik Menteri Kewangan langkah terkebelakang – Radzi

TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan adalah langkah yang amat terkebelakang dalam tadbir urus negara.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata langkah itu juga dilihat tidak selari dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini membantah Perdana Menteri dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Menurutnya, tindakan itu akan menyebabkan tiada lagi fungsi semak dan imbang dalam kerajaan.

“Pada 16 September 2015, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menulis di Facebook bahawa beliau telah memfailkan satu Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang Perdana Menteri daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.

“Selain itu, di bawah janji 12 dalam manifesto PH bagi Pilihan Raya Umum ke-14 disebut bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya Menteri Kewangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, berkata perkara paling asas dalam negara adalah mempunyai satu sistem tadbir urus yang mantap dan kukuh bagi melindungi serta memastikan wang kerajaan digunakan dengan cekap.

“Perdana Menteri terakhir yang menjadi Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Najib Razak.

“Perdana Menteri selepas itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memegang portfolio Menteri Kewangan,” katanya.

Menurutnya, pemimpin PH sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.

“Apa yang saya lihat pada masa ini, Perdana Menteri banyak bercakap tentang perkara yang terlalu kosmetik untuk menyedapkan telinga rakyat.

“Sebaliknya, perkara prinsip dalam struktur pentadbiran yang telah elok dibentuk sebelum ini bila mana Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, diketepikan.

“Di mana reformasi yang sentiasa dilaungkan? Adakah reformasi hanya slogan bila jadi pembangkang?” katanya. – Malaysiapost

Komen